Utama » Kenyataan Media

KDN Dinasihatkan Benteng Kemarahan Rakyat Dengan Keadilan Dan Perhatian, Bukannya Polis.

Submitted by on Isnin, 4 Julai 2011Tiada Ulasan
PAS mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertindak untuk mengharamkan Pertubuhan Bersih 2.0, yang terdiri daripada gabungan 62 NGO yang sah dan berdaftar 6 hari menjelang perhimpunan Bersih 2.0 Julai 9 ini.
PAS juga menyelar tindakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang telah menyalahgunakan kuasa yang ada dengan bertindak di luar batas undang-undang untuk mengharamkan Bersih 2.0 di bawah seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 kerana ia jelas bercanggah dengan dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan untuk rakyat seperti yang dinyatakan peguam Hak Asasi Manusia, N Surendran.  

PAS menghidu tindakan kerajaan BN untuk mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan yang tidak pernah didaftar semata-mata bertujuan supaya gabungan 62 NGO tersebut boleh dianggap pertubuhan haram bagi membolehkan KDN mengerahkan polis untuk bertindak ke atas pemimpinnya.

Tindakan ini dilihat langkah awal bagi melakukan tangkapan besar-besaran ke atas para pimpinan NGO yang menyokong Bersih 2.0 termasuk Pakatan Rakyat kononnya mencetuskan suasana gawat dalam negara; walhal jelas di mata orang awam bahawa Umno dan Perkasa merupakan pihak yang mencetuskan kontroversi dalam mengadakan perhimpunan Julai 9 ini. 

PAS juga melihat tindakan KDN ini seolah-olah cuba mendapatkan keizinan perundangan ke atas tindakan yang bakal dilakukan.

Menteri Dalam Negeri sewajibnya bertindak dengan lebih profesional melayani kehendak rakyat ke arah sistem pilihanraya yang lebih baik dan adil daripada menumpukan kepada kerja untuk memburukkan Bersih 2.0. 

Keyakinan rakyat kepada sistem pilihanraya yang bersih dan adil adalah asas keyakinan dan kesejahteraan negara.

KDN boleh mengarahkan polis untuk menghalang dari sudut fizikal, namun perlu diingatkan rasa tidak puas hati rakyat akan terus membara dan marak, sehingga ianya boleh mencetus pemberontakan dalaman. Sepatutnya ini yang perlu dinilai oleh KDN. 

Sewaktu seorang gabenor memohon peruntukan tambahan kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz bagi membuat benteng bagi menahan pemberontakan rakyat terhadap pemimpin, Umar membalas surat permohonan gabenornya dengan katanya:

“Bentenglah kemarahan rakyatmu dengan keadilanmu, mendengar rintihannya, melayani aduan mereka; itu lebih teguh benteng daripada kota yang kamu cuba bina.”
Wahai KDN, ambillah iktibar daripada Umar bin Abdul Aziz sebelum terlambat. 

Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man,
Ketua Penerangan PAS Pusat

______________

Leave your response!

You must be logged in to post a comment.

?>